KUALA LUMPUR 5 Ogos – Biro Integriti, Anti Rasuah dan Salah Guna Kuasa Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) telah membuat laporan polis mendakwa bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid menghantar surat berbaur hasutan kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) sebelum Pilihan Raya Umum Ke -14 (PRU-14) lalu.
Ketua Biro Integriti Armada Nasional, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, surat itu didakwa mengandungi tuduhan serta fitnah terhadap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Kandungan itu mendakwa Mahathir seorang anti semitik (anti Yahudi) dan anti Barat seperti laungan golongan tokoh-tokoh Barat yang membela nasib warga Palestin,” jelasnya.
Berita berkaitan:
Sebelum ini, portal Malaysiakini mendedahkan sepucuk surat daripada Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri kepada CIA, Amerika Syarikat (AS) sebelum PRU-14.
Surat bertarikh 4 Mei yang dihantar oleh Hasanah kepada Pengarah CIA, Gina Haspel itu antara lain meminta sokongan AS terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya Barisan Nasional (BN) menang mudah atau dengan bilangan kerusi yang sedikit.
Kandungan surat yang turut dikatakan membuat perbandingan antara polisi Dr. Mahathir semasa pentadbirannya sebelum ini dengan pentadbiran Najib yang dianggap sebagai sekutu AS yang kuat dan rakan kongsi yang boleh dipercayai di Asia Tenggara selain akan terus menyokong kehadiran AS di rantau ini. – UTUSAN ONLINE











