KUALA LUMPUR 2 Ogos – Penghapusan tol di seluruh negara secara serentak seperti mana yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) hanya memberi implikasi kewangan yang teruk kepada kerajaan.
Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, ini kerana kos keseluruhan pengambilalihan lebuh raya bertol di negara ini amat tinggi iaitu berjumlah RM400 bilion.
“Kos keseluruhan pengambilalihan lebuh raya bertol dianggarkan mencecah RM400 bilion,” katanya ketika menggulung perbahasan usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Baru berkata, kerajaan bagaimanapun akan membuat kajian dan penelitian terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai perkara berkenaan.
“Kerajaan perlu menjaga kepentingan semua pihak termasuk pemegang konsensi, pelabur dan pemberi pinjaman.
“Justeru, semua isu berkaitan penghapuskan tol dan implikasi dan jumlah tol akan dimuktamadkan setelah kita berbincang dan mendapat nasihat daripada agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya.
Menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) supaya kerajaan menyenaraikan tol yang akan dihapuskan, Baru berkata, perkara itu akan dikaji terlebih dahulu.
“Yang itu (jumlah tol yang akan dimansuhkan) akan kita kaji dan bagaimana keputusannya akan dibuat pihak kementerian nanti,” katanya.











