KUALA LUMPUR – Weststar Maxus, pengedar tunggal rangkaian kenderaan Maxus di Malaysia, telah menilai semula harga kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah G10 dan kenderaan komersial V80 dengan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sifar berkuat kuasa serta-merta.
![]() |
|
SYED AZMAN
|
Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat ekoran pengumuman kerajaan memansuhkan GST berkuat kuasa 1 Jun ini.
Menurut beliau, pengurangan harga antara RM5,000 hingga RM10,000 itu akan diteruskan sehingga Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan kerajaan.
“Inisiatif ini bertujuan untuk membolehkan kesemua rangkaian model kenderaan kami lebih mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.
“Kami kini berada dalam fasa pengembangan dan berhasrat untuk mengukuhkan lagi kedudukan jenama serta kualiti Maxus dalam segmen pasaran yang lebih luas di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Syed Azman menjelaskan, syarikat juga bercadang untuk membuka dua ruang pameran kenderaan baharu di Pulau Pinang dan Kota Bharu, Kelantan dalam masa terdekat.
“Kami yakin bahawa rangkaian produk yang mempunyai kelebihan dari segi harga, kualiti dan ciri-ciri yang ditawarkan ini bakal menjadi sebuah jenama premium pada masa depan,” jelas beliau.
Weststar Maxus G10 dijual pada harga serendah RM130,000 seunit, manakala Maxus V80 pula berharga serendah RM100,000 seunit.












