Rakan bekas anak ADUN Pelabuhan Klang parah dipukul - Utusan Malaysia

Rakan bekas anak ADUN Pelabuhan Klang parah dipukul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 29 Mei – Rakan kepada anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Allahyarham Datuk Zakaria Md. Deros parah dipukul sekumpulan lelaki ketika cuba meleraikan satu kekecohan dalam kejadian awal pagi ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, mangsa, 48, pada mulanya sedang bersahur bersama seorang rakan di restoran di Pandamaran, sebelum dimaklumkan ada sekumpulan lelaki membuat kecoh di pusat snooker bersebelahan.

Mangsa yang dikenali sebagai Zamani kemudiannya ke pusat snooker itu bersama rakannya bagi meleraikan kekecohan tetapi telah dipukul sekumpulan lima lelaki menggunakan kayu serta kerusi hingga parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, susulan serangan itu mangsa menerima 18 jahitan di kepala dan dahi manakala rakannya yang juga pesara polis masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

“Susulan kejadian ini, polis sudah menahan kesemua lima suspek bagi melengkapkan siasatan dan kita menyiasat insiden tersebut dari segenap sudut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul Amar juga menafikan khabar angin yang tular dalam media sosial kononnya mangsa meninggal dunia dan memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu yang bertujuan mengeruhkan keadaan.

Katanya, polis tidak teragak-agak untuk bertindak ke atas pihak yang cuba menghangatkan insiden itu dengan mengaitkan soal kaum. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini