KUALA LUMPUR – Dua pelancong Mesir ditahan selepas pihak polis menjumpai ganja dalam kereta yang dinaiki mereka di tepi jalan berhampiran LRT Chan Sow Lin di sini semalam.
Kedua-dua lelaki itu ditahan pada pukul 6 pagi selepas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Wangsa Maju melihat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza berada dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, hasil pemeriksaan polis menemui ganja seberat 207.07 gram yang diletakkan di atas pelapik kaki bahagian tempat duduk pemandu.
“Hasil saringan air kencing mendapati salah seorang daripada suspek positif dadah jenis ganja.
“Siasatan lanjut mendapati suspek berusia 22 dan 44 tahun itu memasuki negara ini sebagai pelancong dan mendapat bekalan daripada seorang lelaki bernama Mico di sekitar kawasan Jalan Changkat Thambi Dollah di sini,” katanya.
Menurutnya lagi, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











