SEREMBAN – Pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura tidak akan menjejaskan ekonomi di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perusahaan dan Keusahawanan Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, ini adalah kerana terdapat banyak kaedah lain yang boleh memacu ekonomi negeri, tambahan pula kedudukan negeri ini yang dianggap strategik.
“Ada banyak kaedah lain untuk kami tingkatkan ekonomi di Negeri Sembilan ini, dari segi ekonomi kami melihat banyak faktor dan negeri ini ada banyak tempat strategik, tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pelabuhan Klang dan ada sistem jalan raya yang baik.
“Faktor-faktor ini boleh dimanfaatkan untuk sektor pelancongan, sektor pertanian dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Mengimarahkan Ramadan di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam menegaskan kerajaan muktamad membatalkan projek HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura dan Malaysia akan berdepan pembayaran pampasan ekoran pembatalan itu. – Bernama











