KUALA LUMPUR 29 Mei – Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar UiTM (Pimpin) yang mewakili lebih 700,000 alumni universiti berkenaan hari ini menggesa agar kerajaan bertegas dan menolak cadangan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang mendesak supaya institusi itu dibuka kepada pelajar bukan bumiputera.
Pimpin berkata, kerajaan perlu bertegas agar perkara seperti itu tidak disentuh sebagai mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak istimewa kepada kaum bumiputera.
“Cadangan itu pasti juga menyebabkan lebih 700,000 alumni UiTM serta lebih 60 peratus kaum bumiputera di negara ini akan berasa tidak senang jika permintaan yang bersifat ‘tidak mempedulikan kepentingan majoriti’ itu diberikan keutamaan oleh kerajaan.
“Kerajaan juga wajar melihat kaedah lain yang boleh membantu meningkatkan taraf sosioekonomi kaum India melalui strategi-strategi yang lebih berimpak tinggi, di luar kerangka hak dan keistimewaan kaum bumiputera,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Hindraf menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India, antaranya pengambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UiTM. – UTUSAN ONLINE











