BANGI – Pensyarah Kanan Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim nyaris maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Bukit Mahkota di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, mangsa yang berusia 39 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri program bual bicara Malaysia Hari Ini di Sri Pentas, Damansara Utama.
Difahamkan, kereta Mercedes-Benz yang dipandu mangsa dikatakan terbabas dan melanggar sebatang pokok sebelum terbakar.
Kosmo! difahamkan, mangsa yang juga merupakan seorang pendakwah yang mengalami kecederaan pada anggota badan dikejarkan ke Hopsital Sedang untuk rawatan lanjut.
Komander Operasi, Rosli Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.39 pagi sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kita dapati sebuah kereta sedang terbakar dan kita berjaya memadamkan api tersebut sepenuhnya pada pukul 9.17 pagi.
“Mangsa dipercayai telah dikeluarkan orang awam sebelum pihak bomba tiba,” katanya ketika dihubungi hari ini. – K! ONLINE











