KUALA LUMPUR 28 Mei – Peniaga di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini kecewa dengan tindakan pemilik premis perniagaan yang menaikkan harga sewa berlipat kali ganda sehingga mencecah RM100,000 sebulan.
Utusan Malaysia difahamkan kadar semasa sewa premis perniagaan di situ adalah sekitar RM30,000 hingga RM 50,000 sebulan dan pemilik sanggup menaikkan harga sewa setiap tahun kerana tahu ada yang sanggup membayarnya.
Keadaan itu yang menyebabkan sebahagian daripada peniaga tempatan semakin tertekan dan ramai yang sudah ‘menyerah kalah’ sehingga terpaksa berpindah ke premis perniagaan lain.
Lebih mengejutkan, kira-kira 90 peratus premis di pusat tumpuan membeli-belah ibu kota itu adalah kepunyaan warga asing seperti Singapura, Bangladesh, India dan Pakistan.
Menurut peniaga, Abd. Rahim Ismail, 59, pemilik premis biasanya akan menaikkan harga sewa setiap kali kontrak perjanjian diperbaharui dengan kadar anggaran setiap tahun.
“Contohnya, kontrak saya akan diperbaharui setiap tiga tahun sekali. Dalam tempoh itu harga akan meningkat kira-kira RM10,000 atau lebih.
“Harga sewa setiap kedai berbeza dan bergantung kepada budi bicara pemiliknya tapi ada penyewa yang terpaksa akur kepada jumlah yang tinggi sehingga mencecah RM100,000 untuk kedai di tingkat bawah,” katanya.
Abd. Rahim berkata, untuk melunaskan bayaran sewa, beliau terpaksa bekerja keras dan bernasib baik kerana mempunyai perniagaan lain.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman memberitahu, tekanan dan beban harga sewa premis yang tinggi menyebabkan peniaga tempatan semakin terpinggir di syurga tekstil itu.
Keadaan itu katanya memberi lebih peluang kepada warga asing ‘merampas’ tempat dan memonopoli perniagaan kerana mempunyai modal perniagaan yang besar.
“Sekitar tahun 2000, kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India masih lagi dikuasai oleh warga tempatan namun ramai yang tepaksa berpindah ke tempat lain kerana tidak mampu membayar sewa selain terpaksa bersaing dengan potongan harga peniaga warga asing,” katanya.











