Isu harga barang dibawa ke Kabinet - Utusan Malaysia

Isu harga barang dibawa ke Kabinet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 28 MEI – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membawa isu kenaikan harga barang serta penguatkuasaan kawalan harga untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab itu kerana kementeriannya bersama-sama meng­anggotai Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup yang melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Saya akan membawa panda­ngan kepada mesyuarat jemaah Menteri supaya Perdana Menteri dapat mengarahkan kerja-kerja penguatkuasaan sementara belum ada lantikan Menteri (KPDNKK),” katanya kepada pembe­rita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada majlis serah tugas bersama bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di bangunan kementerian di sini.

Terdahulu, beliau turut mengikuti program taklimat daripada pegawai-pegawai KPDNKK me­ngenai isu kenaikan harga bara­ngan di pasaran.

Kata Salahuddin, beliau memberi jaminan bekalan barangan makanan dan keperluan sepanjang bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri adalah mencukupi namun aspek penguatkuasaan perlu melibatkan pihak yang berkenaan.

Dalam pada itu, Salahuddin memberitahu, beliau bersedia me­neruskan dasar dan perancangan yang diperkenalkan Ahmad Shabery, malah menganggap persahabatan kedua-dua mereka adalah mengatasi kepentingan politik.

“Saya sedia belajar dengan siapa-siapa yang dapat memberi saya ilmu, keterbukaan ini kekal dan saya dan Datuk Seri Ahmad Shabery masih boleh bersahabat untuk akan datang dan selama­nya, insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, ujar Ahmad Shabery, beliau menyeru Salahud­din untuk memanfaatkan kepakaran yang dimiliki oleh pegawai-pegawai di kementerian dan juga agensi-agensi di bawahnya bagi menjaga keselamatan bekalan makanan di negara ini.

“Di kementerian ini kita ber­usaha menghapuskan kemiskinan dan cuba mewujudkan kekayaan baharu, asas kekuatannya yang tidak ternilai adalah untuk negara ini selamat cukup makanan dan tidak tertinggal daripada rantaian makanan,” katanya yang juga menghargai persahabatan dengan Salahuddin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN