KANGAR – Tujuh daripada sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir pada Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar Perlis baru-baru ini menyatakan pendirian menjunjung titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
![]() |
|
|
Perkara itu dimaklumkan ADUN Santan, Azizan Sulaiman yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar yang mewakili kesemua ADUN BN.
Sebelum ini, dua ADUN BN telah menyatakan pendirian masing-masing untuk menjunjung titah Raja Perlis dalam kemelut pelantikan Menteri Besar iaitu ADUN Kayang, Hamizan Hassan pada Sabtu lalu dan ADUN Beseri, Ruzaini Rais kelmarin.
Azizan berkata, beliau dan semua wakil rakyat yang terbabit sebenarnya tidak berniat menderhaka terhadap Tuanku Syed Sirajuddin.
Jelas beliau, pada tarikh dan waktu majlis pelantikan Menteri Besar diadakan, kesemua ADUN BN dikehendaki menghadiri perjumpaan bersama pucuk pimpinan parti di Kuala Lumpur.
“Itu sebab (kami) tidak dapat menghadiri majlis pelantikan (Menteri Besar). Kami bersepakat berada di ibu negara untuk menghadiri satu perjumpaan parti bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti),” katanya di sini semalam.












