KUALA LUMPUR 28 MEI – Satu persatu ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia menerima kesan ‘Tsunami Pilihan Raya Umum’ Ke-14 sejak 10 Mei lalu yang turut menyaksikan presiden baharu persatuan bola sepak negeri seperti Kedah dan Melaka, perubahan seiring kepemimpinan peringkat kerajaan negeri.
Turut dijangka menyusuli Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Melaka United (MUSA) itu ialah Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) apabila Jawatankuasa Eksekutifnya (Exco) bersidang, Khamis ini dengan agenda penting dikatakan terarah kepada kedudukan Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal.
Naib Presiden FAS, Datuk K. Palanisamy berkata, sudah sampai masanya untuk teraju persatuan yang ditubuhkan pada 1936 ini bertukar mengikut perkembangan semasa terutamanya dari segi mendapatkan sokongan kewangan.
“Kami perlukan perubahan kepemimpinan kerana FAS sekarang terus bermasalah dalam mendapatkan sokongan kewangan.
“Selangor juga berada di tempat keempat corot Liga Super sekarang dan masih gagal untuk kembali bermain di gelanggang sendiri, Stadium Shah Alam pada musim ini.
“Saya pernah mendekati Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan saya rasa bagindalah yang paling layak sebagai Presiden baharu FAS,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Palanisamy turut menyatakan kesediaannya untuk mengemukakan usul membawa Presiden baharu FAS kepada mesyuarat Exco di Yayasan FAS, Kelana Jaya itu kerana mendakwa, turut telah mendapat persetujuan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin hasil satu pertemuan, baru-baru ini.
Subahan mengambil alih kerusi No. 1 FAS itu daripada Azmin mulai 23 Februari tahun lalu selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan bagi penggal 2017-2021 dalam mesyuarat agung luar biasa di Shah Alam.
Dalam pada itu, Palanisamy juga hairan mengapa Datuk Seri Shahril Mokhtar menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Timbalan Presiden FAS, beberapa minggu lalu, malah beranggapan mungkin tidak ramai ahli Exco sendiri yang menyedarinya.
“Saya fikir peletakan jawatannya juga wajar jadi satu lagi agenda mesyuarat Exco FAS ini. FAS perlu lantik seorang pemangku Timbalan Presiden daripada kalangan empat penyandang Naib Presiden sekarang berdasarkan peruntukan Perlembagaan persatuan,” katanya.
Selain beliau, mereka yang menduduki kerusi No. 3 FAS itu ialah Datuk Abdul Rauf Ahmad yang juga pengurus pasukan Selangor, Datuk Lim Thean Sheang dan Nizam Sani.











