RIO DE JANEIRO – Presiden Brazil, Michel Temer tunduk kepada tuntutan penunjuk perasaan semalam dan menurunkan harga diesel selepas tekanan selama seminggu ekoran mogok yang dilancarkan oleh pemandu trak di seluruh negara berkenaan.
Pemotongan harga menyamai 46 sen seliter itu berkuat kuasa selama 60 hari, kata Temer dalam satu kenyataan televisyen selepas protes tersebut melumpuhkan sebahagian besar infrastruktur ekonomi Brazil.
Beliau juga bersetuju dengan empat tuntutan lain yang dibuat oleh pemandu-pemandu trak itu.
Temer membuat keputusan itu selepas Menteri Keselamatan Institusi, Sergio Etchegoyen berkata, Brazil akan kembali pulih, namun menambah: “Ia bukan segera.”
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa mengerahkan tentera untuk meleraikan sekatan yang didirikan oleh penunjuk perasaan dan mengiringi lori tangki sejak Jumaat lalu bagi memastikan akses ke loji penapisan minyak.
Namun, polis pengangkutan persekutuan melaporkan bahawa setakat Sabtu lepas, hampir 600 jalan raya di seluruh Brazil masih sekurang-kurangnya separa terhalang.
Mogok itu mengakibatkan stesen-stesen minyak kehabisan petrol dan diesel, manakala pasar raya pula tiada makanan basah serta sayuran.
Harga purata diesel ialah 3.36 real (RM3.66) seliter pada Januari lalu dan meningkat kepada 3.60 real (RM3.93) sebelum mogok diadakan, demikian menurut portal berita G1. Pada 26 Mei lepas, harga diesel di Brazil meningkat lagi kepada 3.80 real (RM4.15) seliter.
Akhbar tempatan, Folha de Sao Paulo melaporkan bahawa Brazil mengalami kerugian ekonomi AS$2.8 bilion (RM11.5 bilion) sepanjang lima hari pertama protes tersebut. – AFP











