Jualan pelabur asing mengecil - Utusan Malaysia

Jualan pelabur asing mengecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 MEI – Penjualan ekuiti negara oleh pelabur asing di Bursa Malaysia mengecil kepada RM892.4 juta pada minggu lalu, berbanding RM2.48 bilion minggu sebelumnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penganalisis ekonomi di firma MIDF Research, Adam M. Rahim berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih setiap hari sepanjang minggu, menjadikan jualan berlanjutan sehingga 15 hari berturut-turut sejak Jumaat lalu.

Katanya, ia merupakan tempoh jualan paling panjang direkodkan sejak ‘pesta jualan’ selama 17 hari pada Ogos 2017.

“Pada Isnin, ia menyaksikan pelabur antarabangsa mengambil RM125.4 juta bersih. Pelabur global kemudian menjual RM77.2 juta bersih pada hari berikutnya memandangkan pelabur menilai keputusan prestasi syarikat dalam indeks KLCI seperti Telekom Malaysia Berhad.

“Momentum jualan asing berjumlah RM286.8 juta pada Rabu, bertepatan dengan FBM KLCI yang mencatat penurunan harian pada 2.21 peratus, terbesar sejak 24 Ogos 2015,” katanya dalam laporan aliran dana mingguan di sini hari ini.

Menurut beliau, jualan tersebut kebanyakannya disebabkan kebimbangan terhadap paras hutang negara.

“Faktor lain termasuklah ke­tegangan geopolitik antara Washington dan Pyongyang yang membawa kepada jualan besar-besaran dalam pasaran saham di rantau ini iaitu Thailand, Taiwan dan Filipina.

“Pada Khamis pula, ia menyaksikan paras jualan asing yang tinggi iaitu RM322.8 juta yang menyebabkan FBM KLCI ditutup rendah sejak akhir Disember 2017 pada 1,776 mata,” katanya.

Adam berkata, jualan asing menyusut kepada serendah RM80 juta pada Jumaat dengan indeks FBM KLCI merapatkan empat sesi kerugian berturut-turut kerana berada di atas 1,800 mata.

Katanya, pengeluaran pelabur asing pada minggu lalu, telah menghapuskan aliran masuk terkumpul yang berada di paras RM40.2 juta pada minggu sebelumnya.  

“Setakat tahun ini, aliran keluar dari Malaysia ialah RM852.2 juta bersih yang masih lagi rendah dalam kalangan negara ASEAN.

“Penyertaan pelabur asing menyusut kerana nilai perdagangan harian purata (ADTV) menurun sebanyak 35 peratus tetapi masih dianggap baik pada RM1.56 bilion,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini