Florida diancam taufan Alberto - Utusan Malaysia

Florida diancam taufan Alberto

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FLORIDA 28 Mei – Beribu-ribu penduduk Flo­rida meninggalkan rumah masing-masing semalam berikutan ancaman ribut Alberto yang bergerak menuju ke utara negeri ini melalui Teluk Mexico.

Ribut berkenaan dijangka menyebabkan banjir yang mengancam nyawa penduduk di negeri-negeri pantai selatan.

Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) memaklumkan, ribut berkenaan berada pada jarak 165 kilometer di selatan Apalachicola, Florida di pantai Teluk Mexico pada pukul 8 malam waktu tempatan semalam dan bakal membadai Florida Panhandle.

Alberto merupakan nama pertama  ribut Altantik pada tahun ini yang mengumpul kekuatan sejak beberapa hari lalu dan tiba sebelum  musim taufan yang lazimnya bermula 1 Jun ini.

Ribut dengan angin berkelajuan maksimum 105 kilometer sejam itu dijangka akan membawa hujan pada kadar 30 sentimeter (sm) dengan membadai kawasan dari Mississippi ke barat Georgia.

Lapor pusat berkenaan, selepas membawa angin kencang dan hujan lebat, ribut tersebut akan bergerak ke Tennessee Valley selama dua hari bermula esok.

Ribut yang berlaku pada ketika cuti sempena hari Memorial itu juga menyebabkan berlakunya masalah pengangkutan hari ini  ketika orang ramai berpusu-pusu pulang daripada percutian ma­sing-masing.

Beberapa kejadian puting beliung turut berlaku di kawasan te­ngah utara Semenanjung Florida semalam selain Alberto turut menyebabkan ombak besar setinggi 60 sehingga 120 sm.

Daerah Franklin  di Florida Panhandle telah mengeluarkan arahan berpindah  mandatori terhadap penghuni di 4,200 rumah manakala daerah Taylor di bahagian timur mengeluarkan arahan berpindah suka rela di kawasan-kawasan pantai.

Gabenor Florida, Rick Scott yang mengeluarkan arahan darurat melibatkan semua 67 daerah pada Sabtu lalu berkata, seramai 5,500 anggota pengawal kebangsaan Florida telah bersiap sedia untuk menghulurkan bantuan.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan telah mengeluarkan arahan pemantauan banjir kilat bermula dari Mississippi ke Carolina Utara yang didiami jutaan penduduk. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×