PUTRAJAYA – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (gambar kecil) semalam membidas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengulas mengenai hutang negara yang kini mencecah RM1 trilion seperti yang diumumkan kerajaan Pakatan Harapan baru-baru ini.
![]() |
|
|
Najib antara lain berkata, tindakan kerajaan baharu mengumumkan bahawa nisbah hutang negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 65 peratus dan hutang negara lebih RM1 trilion tanpa memberikan perincian menyebabkan pasaran kewangan terganggu.
“Izinkan saya mengambil kesempatan untuk menerangkan liabiliti bernilai RM1 trilion pada 31 Disember 2017. Hutang Kerajaan Persekutuan adalah RM686.8 bilion iaitu 50.8 peratus daripada KDNK.
“Kerajaan juga perlu membayar jaminan kerajaan kepada pelbagai entiti yang gagal untuk membayar hutangnya. Jumlah ini adalah sebanyak RM199.1 bilion yang melibatkan sebanyak 14.6 peratus daripada KDNK,” jelas Guan Eng pada sidang akhbar di sini semalam.
Antara jaminan itu melibatkan syarikat berkaitan kerajaan iaitu Danainfra Nasional Bhd. (RM42.2 bilion), Govco Holdings Bhd. (RM8.8 bilion), Prasarana Malaysia Bhd. (RM26.6 bilion), Malaysia Rail-link Sdn. Bhd. (RM14.5 bilion) serta dianggarkan RM38 bilion untuk 1MDB,” katanya.
Menurut Guan Eng, kerajaan juga dikehendaki untuk menjelaskan pelbagai pajakan untuk pelbagai projek awam swasta seperti pembinaan sekolah, balai polis, jalan raya serta lain-lain yang berjumlah RM201.4 bilion yang meliputi sebanyak 14.9 peratus daripada KDNK.












