KOTA BHARU – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa bertemu dengan bonda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid di Istana Mahkota, Kubang Kerian di sini hari ini.
Beliau ditemani suaminya, Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada pukul 9.35 malam.
Kedatangan beliau disambut Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Sukirman Mustafa.
Pertemuan itu yang dijangka berlangsung kira-kira sejam diadakan secara tertutup dan tiada liputan media dibenarkan.
Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga sempat melambai tangan kepada kumpulan media yang menunggu sejak pukul 8 malam.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Kelantan sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan mencatatkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 sekali gus menjadi Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia. – K! ONLINE.











