KLUANG 24 Mei – Seorang jurujual maut dipercayai ditetak sekumpulan lelaki ketika sedang minum di sebuah restoran di Jalan Aziz Awab, Kluang Baru, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.26 malam itu, lelaki berusia 44 tahun dipercayai ditetak menggunakan parang di bahagian belakang leher, punggung, lengan kiri dan kedua-dua bahagian bawah betis sehingga hampir putus.
Pemangku Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, rakan mangsa mendapati empat lelaki menaiki dua buah motosikal meluru ke arah mereka dan salah seorang daripadanya terus menyerang mangsa.
“Selepas ditetak di belakang leher, mangsa berjaya melepaskan diri menuju ke jalan besar tetapi suspek menahan mangsa lalu menetak mangsa di beberapa bahagian anggota badan lain.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom dan meninggal dunia semasa menerima rawatan. Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya di sini, sebentar tadi.
Abdul Razak berkata, sepasang kekasih berusia 47 dan 44 tahun kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -UTUSAN ONLINE









