KUCHING 23 Mei – Pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown masih disenarai hitam dan dilarang memasuki negeri ini.
![]() |
|
ABANG JOHARI TUN OPENG
|
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau setakat ini belum membuat keputusan untuk mengeluarkan nama wanita itu daripada senarai hitam individu dilarang memasuki Sarawak meskipun Kerajaan Pakatan Harapan sudah membatalkan waran tangkap terhadapnya pada Khamis lalu.
“Beliau masih dalam senarai hitam (individu dilarang memasuki Sarawak) sejak pentadbiran Ketua Menteri terdahulu (Tun Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem).
“Namanya masih dalam senarai berkenaan dan saya belum membuat keputusan untuk mengeluarkan namanya daripada senarai tersebut,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangsih Kuih Raya 2018 oleh Jabatan Wanita dan Keluarga (JWKS) dan Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (Sabati) di Dewan Undangan Negeri Lama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada larangan ke atas Brown untuk memasuki negeri ini masih berkuatkuasa atau sebaliknya berikutan kepulangannya ke tanah air.
Brown dilarang memasuki Sarawak sejak 3 Julai 2013 kerana banyak mengkritik pentadbiran kerajaan negeri yang ketika itu di bawah Abdul Taib yang kini merupakan Yang Dipertua Negeri.
Wanita kelahiran Sarawak yang dikatakan membongkar isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu pulang ke Malaysia selepas dimaklumkan laman berita miliknya tidak lagi disekat kerajaan selain waran tangkap ke atasnya dibatalkan pada Khamis lalu.
Dalam pada itu, Abang Johari memberi jaminan bahawa semua bantuan kebajikan yang diberikan kepada rakyat kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah akan diteruskan di negeri ini.
“Insya-Allah, kita akan terus memberi peruntukan untuk kerja-kerja kebajikan di negeri ini seperti bantuan bulanan meskipun jika ia dihentikan kerajaan Pusat.
“Mereka kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah perlu dibantu termasuk terbaru kerajaan negeri telah menurunkan 50 peratus premium tanah iaitu daripada RM5,000 kepada RM2,500,” katanya.
Terdahulu, Abang Johari menyerahkan sumbangan 8,000 bungkusan kuih raya sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan besar warga agensi keselamatan dan penguat kuasa di negeri ini.












