KUALA LUMPUR 23 Mei – KIRA-KIRA 50 buah keluarga di Blok G18, berek polis Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras di sini menggesa pihak bertanggungjawab segera menamatkan penderitaan yang ditanggung mereka sejak setahun lalu ekoran masalah lif rosak di perumahan itu.
Penduduk mendakwa sebelum ini hanya satu daripada tiga lif di situ berfungsi dan satu-satunya kemudahan yang menjadi tempat bergantung mereka menjalani kehidupan harian.
Namun apabila sejak sebulan lalu satu-satunya lif di situ juga rosak ia benar-benar menimbulkan kemarahan penduduk.
Lebih menimbulkan rasa terkilan masalah itu berlaku ketika umat Islam sedang menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan.
Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit hari ini mendapati, kegagalan ketiga-tiga lif itu berfungsi menyebabkan penduduk berek berusia lebih 30 tahun itu terpaksa turun naik menggunakan tangga ke kediaman masing-masing.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia semakin hilang sabar akibat masalah tersebut sehingga kini tidak mendapat perhatian pihak bertanggungjawab.
“Bayangkan warga emas, ibu mengandung dan kanak-kanak terpaksa menggunakan tangga turun naik untuk berurusan setiap hari. Keadaan ini juga turut menyulitkan jika penduduk mahu mengangkat barangan berat seperti perabot,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Utusan Malaysia difahamkan, proses lantikan baharu kontraktor sedang dilaksanakan bagi kerja-kerja baik pulih lif rosak di berek berkenaan.
Berdasarkan pemerhatian, bukan sahaja masalah lif rosak, berek itu turut berdepan masalah bumbung bocor dan sampah sarap sehingga mencemarkan persekitaran.











