BANGKOK 23 Mei – Datuk Lee Chong Wei mempamer aksi cemerlang ketika menumpaskan juara dunia yang juga pemain No. 1 dunia, Viktor Axelsen untuk membolehkan Malaysia mendahului juara bertahan, Denmark 1-0 dalam aksi terakhir Piala Thomas, Kumpulan D di Impact Arena, di sini sebentar tadi.
Chong Wei, 36, mengambil masa 43 untuk menang 21-9, 21-19, sekali gus menebus tiga kekalahan berturut-turut di tangan Axelsen sebelum ini.
“Sudah tentu kemenangan ini menebus maruah saya selepas tiga kali kalah. Saya mengalahkan juara dunia dan pemain No. 1 dunia, ia satu motivasi yang besar,” kata Chong Wei kepada pemberita.
Empat lagi perlawanan akan berlangsung untuk menentukan pemenang. Pasukan yang menang akan muncul juara Kumpulan D, sekali gus bakal meraih undian suku akhir yang lebih baik. – UTUSAN ONLINE











