BANGKOK 23 Mei – Skuad Piala Uber menutup kempen Kumpulan D dengan kemenangan 5-0 ke atas Perancis di Impact Arena sebentar tadi, namun ia tidak membawa sebarang makna kerana mereka sudahpun tersingkir dari suku akhir.
Kekalahan 2-3 kepada Indonesia dalam aksi pembukaan kelmarin, sebelum tewas 1-4 kepada China dalam perlawanan kedua semalam menutup peluang Malaysia untuk menyamai pencapaian terbaik layak ke suku akhir pada 2010.
Dalam aksi hari ini, Goh Jin Wee yang diturunkan sebagai perseorangan pertama berjaya mengutip mata pembukaan dengan menewaskan Yaelle Hoyaux 21-7, 21-0.
Chow Mei Kuan-Lee Meng Yeah menjadikan kedudukan 2-0 dengan mengalahkan Emilie Lefel-Anne Tran 21-14, 21-17.
Lee Ying Ying dipaksa berhempas pulas menundukkan Marie Batomene 15-21, 21-16, 21-11 sebelum mengesahkan kemenangan skuad negara.
Dua lagi mata Malaysia disumbangkan oleh Vivian Hoo-Tee Jing yang menewaskan Delphine Delrue-Lea Palermo 21-13, 15-21, 28-26, manakala S. Kisona menang 17-21, 21-14, 21-9 ke atas Katia Normand. – Utusan Online











