ISKANDAR PUTERI 23 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini menghapuskan Kuota Menegak Kerajaan (KMK) bagi pemilikan rumah di negeri ini selaras dengan satu daripada janji 100 hari PH Johor selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, kuota tersebut yang melibatkan 20 peratus atau kira-kira 3,000 pemohon dihapuskan kerana disifatkan tidak relevan lagi.
Beliau berkata, kerajaan negeri yang baharu pimpinannya akan melihat kepada keperluan semasa sama ada akan mewujudkan sistem lain bagi menggantikan KMK.
“Kerajaan negeri akan tengok keadaan semasa ke semasa tetapi KMK ini memang tiada lagi. Mungkin kita akan tubuh jawatan kuasa untuk teliti permohonan rumah selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri yang pertama di Kota Iskandar, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











