ALOR SETAR – Bekas gitaris kumpulan rock 90-an Ekamatra dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah terhadap tuduhan menyebabkan kematian seorang wanita warga emas ketika memecah masuk ke rumah mangsa pada Februari lalu.
Hakim Juraidah Abbas memerintahkan supaya hukuman terhadap tertuduh Md. Nurul Azman Salilholdin@Salilhaldin, 44, bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 28 Februari lalu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Kau Fu Eng, 71, antara 2 petang hingga 6 petang, 25 Februari lalu di sebuah rumah di Taman Malaysia di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 30 tahun dan boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur manakala tertuduh yang mempunyai empat orang anak tidak diwakili peguam.
Juraidah berkata, hukuman itu dibuat selepas meneliti hujahan pendakwaan dan rayuan tertuduh.
Sebelum itu, Md. Nur Azman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan kerana telah insaf dengan perbuatan yang dilakukan itu.
Dalam pada itu, Rehab pula memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta orang awam. – K! ONLINE











