PONTIAN 23 Mei – Siti Nur Aaira Ameera Mohd. Mamdoh yang menjalani pembedahan pemindahan hati di China dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini pukul 8.50 malam ini.
Aaira yang berusia lapan bulan selamat menjalani pembedahan di Hospital Renji Shanghai pada 2 Mei lalu selepas menerima sebahagian daripada hati ibunya, Siti Zubaidah Abdul Jalil, 41.
Dalam mesej yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp, Siti Zubaidah memberitahu, mereka akan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Pudong, Shanghai pukul 3.25 petang ini.
Siti Zubaidah memaklumkan Siti Nur Aaira semakin sihat dan perut yang dahulunya bengkak kini beransur baik.
Malah selepas hari kedua pembedahan, anaknya itu menunjukkan perkembangan positif apabila bacaan kuning menurun dan kedua belah mata putihnya tidak kelihatan kuning lagi.
“Kami berangkat ke China pada 26 April lalu. Sepanjang berada di sana kami dibantu sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata.
“Terima kasih rakyat Malaysia atas sumbangan dihulurkan sebanyak RM250,000 bagi menampung kos pembedahan Siti Nur Aaira,”katanya. – UTUSAN ONLINE











