CAMERON HIGHLANDS – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini mengumumkan beliau memegang empat portfolio dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi Penggal ke-14.
Empat portfolio itu ialah Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Tanah dan Sumber Asli, Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Ekonomi, Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli serta Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perladangan dan Bioteknologi.
Bagaimanapun, Wan Rosdy berkata, ia mungkin hanya bersifat sementara sebelum Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memperkenan cadangan untuk menambah dua lagi Exco berbanding lapan orang pada waktu ini, seperti yang dibenarkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.
“Cadangan untuk melantik dua lagi Exco telah dikemukakan kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan jika diperkenan baginda, saya akan melepaskan dua portfolio yang dipegang,” katanya.
Wan Rosdy berkata, demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pahang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands di sini, yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail. – Bernama











