KUALA LUMPUR 23 Mei – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung laporan seorang bapa yang mendakwa anaknya telah dirotan seorang guru disiplin hingga menyebabkan lapan kesan bengkak dan luka di Ampang Saujana, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya sudah menerima laporan bapa kepada kanak-kanak berusia lapan tahun itu kira-kira pukul 2.20 petang semalam.
“Lelaki berkenaan mendakwa, anaknya telah mengadu kepadanya mengenai tindakan guru tersebut.
“Anaknya juga memberitahu, seorang murid lain telah menyorokkan begnya dan berlaku pergaduhan sesama mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Hamzah, pihaknya sudah merakam percakapan guru disiplin berkenaan dan siasatan awal mendapati, dia mengaku merotan anak pengadu tetapi tidak sampai cedera seperti yang digambarkan.
Jelasnya, guru berkenaan mengambil tindakan merotan murid tersebut yang didakwa telah menolak dan menendang seorang lagi murid lain di sekolah berkenaan.
Tambahnya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. – UTUSAN ONLINE











