KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Timur di sini hari ini menetapkan 11 Julai ini bagi mendengar laporan jawatankuasa pendamai (JKP) berhubung jalan penyelesaian kes penceraian antara penyanyi Deja Moss dengan suaminya Azfendy Azzuddin Ahmad.
Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Halimatunsa’diah Abu Ahmad yang mewakili Deja selaku defendan selepas prosiding dilakukan secara tertutup dalam kamar Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin.
Menurut Halimatunsa’diah, pihaknya memohon satu laporan JKP bagi membolehkan kedua-dua belah pihak menjalankan proses pendamaian sebelum apa-apa keputusan berkaitan penceraian dibuat.
Bagaimanapun dalam prosiding itu Azfendy selaku plaintif tidak diwakili peguam.
Azfendy, memfailkan permohonan cerai itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 selepas memfailkan permohonan cerai pada 5 Mac lalu. – K! ONLINE











