KUALA LANGAT 23 Mei – Cubaan empat penjenayah cuba melarikan diri daripada polis membawa padah apabila salah seorang daripada mereka cedera akibat terkena tembakan pada kaki kanan dan bahagian bahu.
![]() |
|
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner
|
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kejadian berlaku pukul 8.20 pagi apabila peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Kuala Langat terserempak dengan kereta Honda Civic dalam keadaan yang mencurigakan.
Katanya, pihak polis kemudiannya mengarahkan kereta tersebut untuk berhenti, namun kumpulan terbabit enggan berbuat demikian dan terus memecut melarikan diri ke arah Jalan Bunga, Pekan Banting, di sini.
Jelasnya, susulan tindakan tersebut beberapa kereta polis lain turut membantu mengejar suspek, tetapi kumpulan tersebut terus melarikan diri sehingga melanggar dua buah kereta polis.
“Akibat kejadian ini, kereta dinaiki kumpulan ini telah terbabas dan melanggar bangunan dinding kedai. Keempat-empat suspek cuba melarikan diri dan salah seorang daripada mereka cuba bertindak agresif ke arah polis.
“Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek dan dia telah mengalami kecederaan pada kaki kanan dan bahagian bahu,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE












