MELAKA 23 Mei – Bilik alat ubah (transfomer) elektrik di Planetarium Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini terbakar sebentar tadi.
Difahamkan, kebakaran berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi dan pihak bomba dan penyelamat menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 11.46 pagi ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, kebakaran melibatkan bilik transformer di Planetarium MITC dan berikutan itu, asap tebal dapat dilihat dari jarak jauh.
“Bantuan jentera dihantar ke lokasi kejadian iaitu sebuah jentera pemadam kebakaran Keroh 1, ‘water tanker’, EMRS dan bantuan FRT Katil.
“Dua buah balai bomba dan penyelamat terlibat iaitu Balai Ayer Keroh dan Bukit Katil dengan kekuatan 17 anggota yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Asraf Abdullah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.
Difahamkan kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa. – UTUSAN ONLINE











