KLANG – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor direman tiga hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai meminta suapan wang berjumlah RM10,000 daripada seorang lelaki bagi mengurangkan pertuduhan ke atas anaknya yang ditahan atas kesalahan mencuri, minggu lalu.
Majistret Rozianti Mohamed Hanapi mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas polis berusia 33 tahun itu bermula hari ini sehingga 25 Mei ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 10.15 pagi.
Menurut sumber SPRM, pegawai polis daripada Bahagian Siasatan dan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang itu ditahan semalam kira-kira pukul 9.10 di sebuah restoran di Taman Sentosa Villa Kajang dekat sini.
“Pegawai polis itu dipercayai telah meminta wang berjumlah RM10,000 daripada pengadu sebagai balasan untuk mengurangkan jumlah pertuduhan ke atas anak lelakinya berusia 19 tahun.
“Remaja berkenaan ditangkap atas kesalahan memiliki barangan curi di bawah seksyen 411 Kanun Keseksaan pada 3 April lalu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana meminta dan menerima rasuah. – K! ONLINE











