Roh al-Quran ubah karakter banduan Muslim - Utusan Malaysia

Roh al-Quran ubah karakter banduan Muslim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH 1,400 tahun lalu, setiap umat Islam diajar agar memupuk hubungan istimewa dengan al-Quran. Ini menepati tujuan utama kitab suci utama Islam itu diturunkan iaitu sebagai petunjuk bagi seluruh umat manusia.

Tidak hairanlah apabila seorang banduan mualaf yang ditemui di Penjara Kajang, Selangor, baru-baru ini, mengakui cukup bersyukur dengan penahanannya kerana melaluinya berpeluang mendalami ilmu agama, khususnya al-Quran di penjara berkenaan.

Ini kerana, bekas wakil rakyat berusia 52 tahun itu berkata, jika berada di luar, kerja-kerja politik sering membatasi usahanya mendekatkan diri kepada Allah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang saya ada kelas mingguan di Perkim (Jalan Ipoh, Kuala Lumpur) tetapi urusan dunia (kerja politik) selalu mengehadkan usaha saya mendalami ilmu agama.

“Jadi, ada hikmah saya dipenjarakan mulai tahun lalu. Saya percaya Allah SWT masih sayangkan saya untuk kekal sebagai Muslim hingga akhir hayat,” katanya yang memeluk Islam sejak lima tahun lalu.

Dia yang dihukum penjara empat tahun kerana didapati bersalah mengemukakan tuntutan palsu mengakui bahawa peluang itu memberikannya ruang mendalami Islam melalui program Rumah Ngaji di penjara berkenaan.

ADS:D

“Saya kini lebih tenang, kualiti hidup saya kini amat berbeza berbanding sebelum ini. Melalui Rumah Ngaji, saya mampu fokus mendalami Islam, malah berupaya meningkatkan tahap bacaan al-Quran.

“Dulu saya buta al-Quran, kini saya boleh mengaji asas al-Quran dan menghafal empat surah pendek. Saya juga khatam terjemahan al-Quran dan mampu menyempurnakan solat lima waktu sehari semalam dengan sempurna,” katanya.

PEMULIHAN BANDUAN

Menyedari kekuatan al-Quran, Jabatan Penjara Kajang mengambil inisiatif mewujudkan program Rumah Ngaji sebagai antara langkah pendidikan pemulihan banduan khususnya dalam kalangan Muslim.

Pengarahnya, Abdul Halim Ma Hasan berkata, program yang diwujudkan di Pusat Pemantapan Kerohanian Penjara Kajang itu menampilkan kelas mengaji al-Quran dan ilmu-ilmu agama yang lain yang berkaitan.

“Kelas al-Quran tersebut tidak hanya belajar mengaji tetapi turut diselitkan dengan sesi tadabur ayat-ayat al-Quran.

“Selain itu, program tersebut turut menampilkan pengajian fardu ain, zikir, sirah dan program-parogram lain kerohanian Islam,” katanya semasa sesi lawatan media ke Rumah Ngaji Penjara Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Lawatan tersebut bersempena kempen World#QuranHour tahun ini yang bermatlamat menggalakkan setiap individu Muslim tanpa mengira latar belakang untuk membaca, memahami dan mengamalkan nilai yang ada dalam al-Quran.

Acara kemuncak kempen itu akan diadakan pada hari ke-22 Ramadan (7 Jun) ini di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.

Justeru, objektif Rumah Ngaji Penjara Kajang yang merupakan hasil kerjasama dengan Bank Pembangunan Malaysia Berhad dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas pada tahun 2015 itu bertepatan dengan kempen program tahunan tersebut.

Kelas pengajian agama itu boleh menampung 80 hingga 100 banduan untuk belajar dan membaca al-Quran dalam satu sesi dan dalam setiap sesi ia memakan masa selama dua jam.

Sistem pengajian agama itu lebih berstruktur kerana mempunyai modul yang lengkap dan ditambah pula dengan tenaga pengajar dalam kalangan kakitangan, selain mendapat bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

DAPAT KAWAL EMOSI

Dalam pada itu, Abdul Halim menyifatkan program Rumah Ngaji telah memberi kesan perubahan yang cukup ketara, khususnya dari sudut pengawalan emosi dan disiplin kalangan banduan Muslim.

Malah, beliau menambah, ada dalam kalangan banduan bukan hanya dapat menghafal ayat-ayat al-Quran, bahkan berupaya mengajar rakan-rakan mereka yang lain.

“Kesan ketara adalah aspek disiplin dan keduanya, minda serta emosi mereka lebih terkawal, di samping penghayatan nilai-nilai murni Islam lebih mudah dilakukan.

“Mereka juga lebih terbuka menerima pengajaran setiap kali guru-guru agama kami dan mengulas dan mentafsir ayat-ayat al-Quran,” katanya.

Kesan itu turut diakui seorang tenaga pengajarnya, Hasan al-Banna Akmal Hisham kerana pengalamannya berdepan dengan banduan Muslim yang mula memasuki penjara tersebut dengan sikap suka memberontak, tetapi berubah 100 peratus selepas itu.

Walaupun memakan masa, tetapi Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jakim itu menambah, ia sebenarnya berbaloi bagi memastikan mereka kembali taat kepada Allah SWT apabila keluar penjara nanti.

“Kelas pengajian agama di penjara adalah wajib disertai oleh banduan Muslim tetapi perubahan yang dialami oleh banduan berkenaan bukanlah kerana peraturan tersebut semata-mata.

“Saya dapat lihat dari sudut semangat dan komitmen mereka untuk belajar agama, khususnya dalam membaca dan memahami kandungan al-Quran,” katanya.

“Saya percaya isi kandungan al-Quran boleh mengubah sikap dan sifat seseorang banduan tetapi kita tidak boleh paksa atau melakukan secara kekerasan ke atas mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN