Bayi perempuan didera, polis kesan suspek - Utusan Malaysia

Bayi perempuan didera, polis kesan suspek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG – Polis kini mengesan seorang wanita berusia 42 tahun yang dipercayai mendera bayi perempuan di sebuah rumah kedai di Pekan Donggongon di sini awal pagi Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, ibu kepada bayi berusia setahun itu mendapati ada kesan lebam pada bahagian muka, badan dan kaki anaknya yang disyaki didera.

Sehubungan itu, wanita berusia 38 tahun berkenaan segera menghantar bayi terbabit di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas untuk rawatan lanjut dan bertindak membuat laporan polis pada Ahad lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan lanjut pada fizikal mangsa terdapat kesan lebam pada bahagian belakang, kedua-dua kaki, peha sebelah kiri dan atas kening kiri. 

“Sebelum kejadian, dimaklumkan bayi perempuan itu dijaga nenek saudaranya memandangkan ibu mangsa keluar bekerja sebagai juruwang di sebuah pusat karaoke di Pekan Dongonggon.

“Selepas pulang ke rumah, wanita tersebut mendapati terdapat beberapa kesan lebam pada fizikal anaknya lalu bertanyakan punca kepada suspek namun, dia tidak mengaku dan mengetahui apa-apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Tambah Mohd. Haris, suspek diupah untuk menjaga bayi perempuan itu antara pukul 10 malam hingga 2 pagi pada kadar bayaran RM15 setiap jam.

“Setakat ini, pihak kami masih mengumpul maklumat berkaitan bagi mengesan suspek untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN