JOHOR BAHRU 22 Mei – Fenomena bubur lambuk bukan sahaja kerana kadang-kadang diberikan percuma tetapi orang ramai sanggup membelinya kerana keenakan dan keunikannya rasanya.
Tidak hairanlah tarikan tersebut membuatkan penggemarnya sanggup menunggu lama untuk membeli bubur lambuk apatah lagi sekiranya memang sudah terkenal. Pasti akan dicari.
Peniaga bubur lambuk, Norwati Mahfudz, 48, dari Taman Seri Austin di sini, Bubur Lambuk Mak Wan yang diusahakannya dari rumah sejak lima tahun lalu mempunyai keunikan tersendiri.
“Bubur Lambuk Mak Wan terdiri daripada dua jenis iaitu ayam dan juga daging di mana turut disertakan dengan sambal tumis ikan bilis.
“Rasanya sangat enak kerana turut diperkayakan dengan rempah ratus selain kekacang dan kismis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Norwati dibantu seorang pekerja mengambil masa kira-kira tiga jam untuk memasak dua periuk besar bubur yang mampu menghasilkan sehingga 600 bekas bubur dalam sehari.
Bubur lambuknya bukan sahaja dibeli pelanggan tetap, malah syarikat-syarikat luar yang mahu mengagih-agihkan bubur berkenaan kepada para pekerja dan juga pelanggan mereka.
“Selain bulan Ramadan, saya juga ada menerima tempahan daripada orang perseorangan yang ingin bersedekah kepada orang ramai terutama selepas solat Jumaat,” katanya.
Meskipun tidak mempunyai kedai atau dikomersialkan secara meluas, ibu tunggal kepada tujuh anak itu bersyukur kerana nama Bubur Lambuk Mak Wan semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar bubur termasuklah orang bukan beragama Islam.
Orang ramai yang ingin mencuba keenakkan bubur tersebut boleh melayari laman Facebook Bubur Lambuk Mak Wan atau menghubungi 019-7525786.











