BERSEDIH boleh, tapi jangan kecewa, patah hati atau hilang semangat. Itulah ungkapan yang boleh dizahirkan bagi ‘meratapi’ kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN)-UMNO setelah lebih 60 tahun berkuasa.
Usaha memulihkan kembali bukan sesuatu yang mudah, tapi tidak pula suatu yang mustahil sekiranya pemimpin UMNO berjaya mengembalikan keyakinan rakyat.
Dalam waktu terdekat ini UMNO akan mengadakan mesyuarat agung pemilihan pucuk pimpinan, sama ada ingin memilih kepemimpinan baharu atau mengekalkan kepemimpinan yang sedia ada berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak. Tugas beliau kini digalas sementara oleh Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan dibantu oleh Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Pendekatan yang lebih harmoni serahkan saja tempat yang dikosongkan kepada seorang tokoh lama yang berpengaruh. Tokoh yang saya maksudkan itu ialah Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).
CICIT WAN NGAH
Chenor Pahang











