Nasihat kepada kerajaan, wakil rakyat - Utusan Malaysia

Nasihat kepada kerajaan, wakil rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHNIAH kepada Pakatan Harapan (PH) yang telah menang PRU-14 bukan sahaja dapat menawan Kerajaan Pusat tetapi juga lapan buah negeri turut tumbang.

PETUGAS Suruhanjaya Pilihanraya membantu seorang warga emas mengundi di Sekolah Kebangsaan Air Tawar Endau, Johor, baru-baru ini. gambar hiasan

Ada yang anggap ia adalah tsunami rakyat yang mahukan perubahan dan memberikan peluang untuk PH memegang amanah supaya negara kita ini dikembalikan maruahnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Syabas Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Bertepatan sekali di masa seorang imam masjid membacakan sepotong ayat suci al-Quran di hadapan Sultan Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak sebelum majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baharu menerima watikah pelantikan.

Allah Taala berfirman; “Katakanlah! Ya Allah Yang Maha Memiliki Kerajaan! Engkau memberikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki.

ADS:D

Engkau mencabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki, Engkau memuliakan orang yang Engkau kehendaki dan merendahkan orang yang Engkau kehendaki’ (Ali Imran. 26-27).

Ayat ini begitu menyentuh sekali dan bertepatan makna tafsirannya untuk dijadikan iktibar kepada hamba-hambaNya di muka bumi ini dan inilah apa yang tersurat dan tersirat ketika ini.

Janji-janji manifesto PH yang akan ditunaikan dalam masa 100 hari pentadbiran PH jika memegang tampuk kerajaan Pusat akan menjadi kenyataan.

Kita tunggu dan lihat dan diharapkan rakyat dapat bersabar menunggunya serta diharap jangan lupa untuk memberikan BR1M pada bulan Jun ini dan kalau boleh sebelum Aidilfitri menjelang.

Dalam masa sama diharap semua wakil rakyat yang dipilih akan menjalankan tugas dengan jujur dan amanah.

Jangan sekali-kali bersikap sombong dan cuba lari daripada kewajipan sebagai wakil rakyat dan pastikan tidak ponteng Sidang Dewan Rakyat atau pun negeri dengan apa juga alasan melainkan keadaan memaksa.

Kalau ada rakyat yang berhajat berjumpa janganlah diprotokolkan sangat dan pastikan juga pegawai-pegawai kanan menteri ataupun wakil rakyat ‘tidak lebih sudu daripada kuah’ kerana selalunya sebelum ini orang-orang kanan menteri atau wakil rakyat lebih berkuasa menunjukkan lagak sombongnya. Kita tidak mahu itu semua dan perlu dibakulsampahkan.

Bagi umat Islam di negara ini pastikan kita bersatu serta menghayati segala Rukun Islam dan berpegang dengan segala ajaran yang berpandukan al-Quran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Hapuskan rasuah tanpa mengira bulu dan kedudukan seseorang itu hingga ke akar umbi kerana ia dianggap musuh nombor satu negara dan jadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai sebuah badan yang bebas dan hambat mereka yang larikan wang negara dengan cara tidak halal supaya segala harta benda itu dikembalikan kepada rakyat semula.

Diingatkan semua menteri dan wakil rakyat serta pentadbir negeri dan pegawai kerajaan bekerjalah dengan tulus ikhlas dan jangan cuba meyeleweng atau pun amalkan rasuah kerana kini rakyat sedang memerhatikan termasuk pihak pembangkang yang tersedia mencari kesilapan dan kelalaian kita.

Jangan ada sikap pilih kasih atau cuba menyembunyikan jika ada yang buat salah dan sepatutnya mereka disingkirkan kalau ada bukti yang mencukupi.

Berwaspada dengan ‘musang berbulu ayam’ didalam parti PH kerana kemungkinannya ada di mana-mana, berpakaian seragam parti pemerintah tetapi buat kenyataan antikerajaan.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

Yang Dipertua Persatuan Keluarga Jamalullail Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN