90 dikuarantin akibat virus Nipah di India - Utusan Malaysia

90 dikuarantin akibat virus Nipah di India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI – Sejenis virus maut yang disebarkan oleh kelawar buah termasuk keluang membunuh sekurang-kurang­nya lima orang di selatan India dan lebih 90 orang dikuarantin, kata seorang pegawai kanan kesihatan semalam.

Beberapa kematian lain juga disyaki berpunca daripada virus Nipah itu, manakala pihak berkuasa mengarahkan langkah kecemasan bagi mengawal wabak tersebut.

“Kami boleh mengesahkan bahawa lima orang meninggal dunia akibat virus Nipah,” kata pegawai pemerhati kesihatan negeri Kerala, K.J. Reena kepada agensi berita AFP.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut laporan media, seramai 10 orang telah mati tetapi beberapa pegawai memberitahu AFP bahawa ujian terakhir ke atas beberapa kematian disyaki jangkitan virus Nipah itu masih belum selesai.

Reena berkata, seramai sembilan orang dimasukkan ke hospital kerana menghidap simptom virus itu dengan seorang disahkan positif. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan, kadar kematian akibat jangkitan virus Nipah adalah 70 peratus.

“Kami juga mengesan 94 orang yang berhubungan dengan lima mangsa itu dengan mereka kini dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga,” tambah Reena.

Dalam pada itu, negeri Tamil Nadu yang berjiran dengan Kerala telah meningkatkan pengawasan di daerah-daerah bersempadan berikutan kebimbangan penyebaran virus Nipah.

Virus Nipah pertama kali dikesan di Malaysia dalam tahun 1998. Tiada vaksin untuk virus tersebut yang membunuh lebih 260 orang di Malaysia, Bangladesh dan India dalam beberapa wabak sejak tahun 1998. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini