PM Thailand enggan berkompromi - Utusan Malaysia

PM Thailand enggan berkompromi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha semalam me­ngulangi bahawa pilihan raya umum akan berlangsung ‘awal tahun 2019 dan bukannya lebih awal’, ketika beratus-ratus penunjuk perasaan berarak di Bangkok untuk mendesak supaya pemilihan itu diadakan pada November depan.

Kumpulan penunjuk perasaan yang sebahagiannya mengibarkan bendera Thailand, berarak dari Universiti Thammasat tetapi disekat oleh barisan anggota polis memakai seragam hitam daripada berarak ke pejabat Perdana Menteri di Rumah Kerajaan.

Sebilangan mereka menyerbu ke arah polis untuk meloloskan diri sementara kumpulan berasingan terdiri daripada kira-kira 80 orang bergerak ke ibu pejabat serantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), laluan lain ke pejabat Perdana Menteri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rumah Kerajaan dan jalan-jalan sekitarnya diisytiharkan sebagai zon larangan perarakan oleh polis. Demonstrasi tersebut diadakan sebagai menandakan tempoh empat tahun sejak tentera Thai merampas kuasa pada 22 Mei 2014.

Demonstrasi itu diadakan walaupun pihak tentera memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya tidak mengingkari larangan perhimpunan di tempat awam.

Prayuth yang merupakan ketua angkatan tentera yang mengetuai rampasan kuasa pada 2014 mengulangi kenyataannya bahawa tiada pilihan raya umum sehingga awal tahun 2019.

“Saya telah mengatakan bahawa pilihan raya akan mengikut langkah saya dan akan diadakan pada awal 2019, bukannya lebih awal,” katanya kepada pemberita.

Pihak tentera telah berjanji untuk mengembalikan pemerintahan demokrasi kepada rakyat tetapi berulang kali menangguhkan tarikh pilihan raya umum di negara itu.

Terdahulu, pemimpin tunjuk perasaan berkata, mereka tidak akan menamatkan perhimpunan tersebut.

“Rumah Kerajaan masih sasaran kami dan kami akan cuba segala upaya untuk sampai ke sana. Rakyat datang dari seluruh negara, jadi, saya tidak fikir mereka akan pulang ke rumah,” kata Rangsiman Rome, 25, yang merupakan salah seorang pemimpin tunjuk perasaan kepada pemberita.

Polis berkata, dianggarkan seramai 500 orang menyertai perhimpunan tersebut dan memberi amaran kepada mereka supaya bersurai.
– REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini