ATLET memanah negara, Haziq Kamaruddin melaungkan keyakinan terhadap kemampuan skuad Malaysia menjelang temasya Sukan Asia yang akan berlangsung di Indonesia Ogos depan.
Prestasi cemerlang yang ditampilkan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) menyuntik semangat pemanah-pemanah negara menjelang temasya empat tahun sekali itu.
Bagaimanapun, Haziq yang meraih pingat emas menerusi acara recurve berpasukan lelaki pada KL2017 mengakui peluang sentiasa ada, namun perlu berdepan cabaran negara-negara seperti Korea Selatan dan China.
“Setakat ini persiapan berjalan lancar dan kita cuba untuk tingkatkan persefahaman antara satu sama lain, sekali gus mampu membina keyakinan pasukan menjelang temasya tersebut.
“Kita tahu mereka (Korea & China) kuat tetapi saya percaya skuad negara turut memiliki peluang seimbang untuk memenangi pingat. Apa yang penting adalah sentiasa berfikiran positif,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada masa sama, pemanah berusia 25 tahun itu juga menggesa rakan sepasukan supaya tidak lalai dan jangan terlalu merendah diri biarpun berdepan cabaran negara-negara yang dianggap sebagai kuasa besar dunia tersebut.
Selain itu, dia berkata, mereka masih memperbaiki beberapa kelemahan masing-masing selain belajar bagaimana untuk mengawal tekanan apabila turun beraksi pada kejohanan sebenar.
“Semua pemanah baik-baik sahaja tetapi kita sedang berusaha untuk baiki kutipan mata serta tingkatkan semangat dalam diri sendiri kerana ia merupakan elemen penting pada Sukan Asia nanti.
“Kami juga perlu bijak dalam mengawal tekanan ketika menjalani latihan bagi menghalang kami daripada terasa kekok atau janggal apabila saingan bermula,” ujarnya.
Selepas ini, atlet-atlet memanah negara akan menyertai beberapa kejohanan termasuk Piala Dunia di Amerika Syarikat dan Jerman sebagai persediaan terakhir sebelum ke Sukan Asia.











