PERSATUAN Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memerangi kenaikan harga barang pada musim perayaan. Presidennya, Datuk Joseph George menjelaskan bahawa jawatankuasa yang baru ditubuhkan itu akan berlangsung sehingga Mac 2019.
Antara lain, tujuan penubuhan jawatankuasa tersebut termasuklah memastikan barang keperluan mencukupi pada musim perayaan, memantau kenaikan harga barang yang dilakukan sesuka hati dan tahap kebersihan makanan.
Pengguna juga diberi peluang melaporkan pelbagai masalah berkaitan kepenggunaan kepada jawatankuasa tersebut untuk diambil tindakan sewajarnya.
Oleh hal demikian, kerjasama daripada orang ramai atau pengguna sangat penting untuk mendidik peniaga agar menjalankan tanggungjawab mereka sebagai peniaga dengan jujur dan beretika dalam perniagaan.
Biasanya, semasa musim perayaan, ramai merungut tentang kenaikan harga beberapa jenis barang keperluan. Bagaimanapun, harga bagi beberapa jenis barangan kawalan belum diumumkan sebelum perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Apa pun, kenaikan harga barang mesti diberi perhatian sepenuhnya. Ini amat penting kerana ia melibatkan kos sara hidup.
Kos sara hidup yang tinggi akibat kenaikan harga barangan yang tidak munasabah hanya membebankan dan mengundang kemarahan rakyat.
Kita telah mendapat kerajaan baharu, tetapi apalah guna kerajaan baharu sekiranya rakyat tetap terbeban dengan kenaikan harga barang. Perkara ini perlu ditengok betul-betul oleh kerajaan sekarang.
Banyak barang telah dinaikkan harga dengan macam-macam alasan sebelum ini. Contohnya, sejak dua tahun lepas, harga ikan basah melonjak sehingga menjadi perbahasan di Parlimen.
Semua orang pun terasa dan mengakui bahawa wang yang dibawa ke pasar seolah-olah tidak sepadan dengan apa yang dibawa pulang.
Jika dahulu dengan membawa RM50 ke pasar atau pasar raya, bakul akan penuh, tetapi sekarang setakat tiga atau empat barang sahaja dapat dibeli.
Apatah lagi apabila membeli barang di kedai runcit yang kecil, harganya lebih tinggi. Mengalahkan kita membeli barangan di gedung-gedung perniagaan yang besar.
Kedai-kedai makan dan restoran pula terpaksa menaikkan harga makanan mereka disebabkan harga ikan, udang, ayam naik. Bukan harga bagi lauk ikan, ayam dan udang sahaja yang naik, tetapi harga sepinggan nasi kosong juga dinaikkan menjadi RM1.50 hingga RM1.70 sedangkan harga beras tidak naik.
Kenaikan harga barang di pasaran menjadi bebanan kepada golongan pertengahan dan orang bawahan. Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum ini, kenaikan harga barang seolah-olah sukar dibendung kerana peniaga mempunyai pelbagai alasan untuk menaikkan harga barang.
Ini termasuklah kos pengeluaran, alasan kenaikan harga petrol, kos penghantaran dan lain-lain yang akhirnya membawa kepada kenaikan harga barang.
Dan lebih pening lagi, apabila kenaikan gaji kakitangan awam atau bonus diumumkan, ada peniaga turut menaikkan harga barang.
Mahu tidak mahu, pengguna terpaksa membeli untuk memenuhi keperluan harian. Jika tidak dibeli, bermakna rutin hidup harian lari daripada kebiasaannya.
Orang ramai sudah dinasihati untuk berjimat-cermat dalam soal perbelanjaan. Nasihat ini memang sudah banyak.
Pengguna juga sudah disuruh membeli barang-barang yang diperlukan sahaja, mengurangkan pembelian ke atas barang-barang yang mengalami kenaikan harga, membeli ketika jualan murah, dan membeli barang-barang tempatan agar dapat mengurangkan perbelanjaan.
Tetapi menasihatkan orang ramai sahaja bukan jalan penyelesaian yang konkrit dan dimahukan oleh rakyat. Sampai bila mahu menahan orang ramai daripada membeli?
Apa yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam perlu diikuti oleh persatuan-persatuan pengguna lain di Malaysia dalam usaha membendung kenaikan harga barang sesuka hati.
Tegasnya, pemantauan berterusan oleh persatuan-persatuan pengguna tempatan perlu dilakukan untuk membendung kegiatan mencari untung berlebihan oleh peniaga.
Persatuan-persatuan pengguna juga mesti melakukan pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan yang didapati menaikkan harga barang tanpa sebab yang munasabah.
Di samping itu, persatuan pengguna juga mesti memastikan setiap peniaga meletakkan harga barang pada setiap barang yang dijual kepada orang ramai.
Jika tidak ada tanda harga barang, peniaga lebih mudah menekan pengguna kerana ada peniaga yang memahami nilai pelanggan mereka iaitu orang berada dikenakan harga yang tinggi, orang kurang berada dikenakan harga sederhana manakala orang miskin dikenakan harga yang agak rendah.
Apa-apa pun, kuasa pengguna itu tetap penting kerana di tangan merekalah akan menentukan peniaga itu akan lebih berkuasa atau terus gulung tikar.











