PENGKAJIAN SEMULA PENDIDIKAN ISLAM - Utusan Malaysia

PENGKAJIAN SEMULA PENDIDIKAN ISLAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SESUATU perubahan yang berlaku di dalam sebuah negara dan sesuatu ummah itu hendaklah dilihat dari sudut positif dan satu hikmah yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT.

Perpecahan yang berlaku di dalam sebuah masyarakat dalam sebuah negara itu bolehlah di ibaratkan sebagai ‘sebuah kapal yang sedang tenggelam di dasar lautan’ atau ‘sebagai sebuah rumah yang sedang marak di jilat api’ dan kesannya maka kedua-dua peristiwa ini akan hanya membawa tragedi kemusnahan dan kehancuran kepada rakyat dan negara.

Oleh kerana kapal itu sedang hampir tenggelam, dan rumah itu hampir musnah dijilat api, maka berlumba-lumbalah para pencinta bangsa mencari ikhtiar dan usaha bagi menyelamatkannya, kerana kemusnahan kapal atau rumah itu akan bererti runtuhnya satu bangsa dan pupusnya satu simbol kedaulatan dalam sebuah negara yang terancam ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hal ini merupakan permasalahan negara dan rakyat sendiri. Apabila pemerintah dan rakyat mengakui bahawa mereka mempunyai masalah, maka baharulah mereka dapat mencari formula yang sebaik-baiknya untuk menyelesaikan masalah itu.

Bangsa dan negara itu haruslah segera menyusun program khas bagi perancangan strategik dan mekanisme penyelesaian yang rapi dalam percubaan untuk mendekati dan menyelesaikan masalah perpecahan dan perbezaan agenda perjuangan mereka, kerana dalam dunia siber dan teknologi maklumat ini, ternyata bahawa keseluruhan warga, terutamanya generasi baharu, dapat menguasai bidang ini dan mempunyai pemikiran yang kritikal serta jauh ke hadapan dalam semua aspeknya secara global.

Hal ini perlu ditekankan kera­na kajian menunjukkan kehancuran yang berlaku bagi sebuah negara, di antaranya dise­babkan dua elemen utama, iaitu kuasa dan ekonomi, dan kedua-dua faktor ini telah disa­lahgunakan sehingga akhirnya menjadi alat perpecahan negara yang sering dipergunakan oleh kuasa besar dunia untuk mewujudkan ketidakstabilan negara tersebut. Akhirnya kembali menjadi negara terjajah secara moden kepada kuasa besar dunia.

Sebab itu, dicadangkan penyusunan modus operandi yang kemas, mekanisme tersusun dan membina strategi yang betul, malah memerlukan koordinasi di antara semua pihak dan badan-badan pemikir negara dengan memberikan contoh sejarah tentang keperluan kita membicarakan isu negara dan rakyat yang besar itu untuk menyatu padu pembicaraan politik di antara tokoh-tokoh politik dan semua pihak yang berkonflik.

Satu rancangan jangka panjang dalam konteks ini adalah isu pendidikan secara umum dan pendidikan agama khususnya, yang pada masa kini lebih menyentuh isu kognitif, ketika guru-guru dan ibu bapa telah merasa puas hati dan berbangga dengan markah tinggi dan pangkat A yang dicapai oleh pelajar ketika mempelajari agama, tanpa membawa pendidikan itu lebih jauh ke hadapan iaitu ke arah pembentukan perwatakan, nilai hidup bermoral dan bermasyarakat, bertanggung­ja­wab kepada umum, malah sensitif kepada kebajikan sekeliling dan menghormati sesama manusia, jauh dari rasa ego sentrik, dan pembicaraan isu yang remeh tanpa menyentuh dan mengkaji dasar-dasar besar dan menjadi teras kekuatan negara dan masyarakat umumnya.

Kenapakah pengajaran Islam yang secara sepintas lalu dan secara simboliknya menjadi dasar negara selama ini kelihatannya tidak membawa kepada pengajaran yang lebih berkesan dan efektif, bukan hanya dari sudut kognitif, malah sebaliknya amat berkesan serta menjadi nilai sejagat negara dan umat, untuk mendidik generasi baharu umat ini?

Ketika negara ini sedang membangun dalam era kerajaan baharu, maka amat penting kita pada mulanya dapat membezakan di antara ‘titik temu’ dan ‘titik perbezaan’ dan mencari formula supaya bersatu di dalam perbezaan. Ketika Rasulullah sudah tidak ada, maka kitalah pewarisnya, oleh itu kita haruslah mengenal pasti yang manakah ‘matlamat’, dan yang manakah ‘alatnya’ yang menjadi formula kesepaduan kita, bukan terlalu banyak membincangkan tentang penyelesaian bagi ‘alat’ bukan ‘matlamat’. Hal ini bolehlah diibaratkan seperti rawatan kepada pesakit, jangan hanya merawat tanda-tanda pe­nyakit atau simptomnya, tetapi rawatlah punca penyakit sebenar.

Oleh itu, pertemuan fikiran dan kajian haruslah dibicarakan secara meluas sebagai satu formula kesatuan umat Islam sendiri, seperti yang difirmankan Allah SWT: Sesungguhnya umat ini adalah umat yang satu, dan Aku adalah Tuhan kamu, maka sembahlah Aku – Al-Anbiya’ ayat 21

Pembicaraan dalam konteks pendidikan Islam ini juga haruslah mengambil kira komposisi masyarakat negara ini mengikut firman Allah SWT: Wahai manusia, telah Kami jadikan kamu lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berpuak-puak dan kaum-kaum supaya kamu dapat berkenal-kenalan. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang pa­ling bertakwa – Al-Hujurat ayat 13

Dengan itu, maka usaha untuk mengkaji semula sistem dan institusi pendidikan Islam ini secara khususnya hendaklah dilakukan segera, di antaranya adalah mencari formula praktikal dalam penyusunan kurikulum, program latihan guru, buku teks, dan lain-lain, berdasarkan pandangan sarwajagat, world view, Islam itu sendiri dalam mendidik ummahnya.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN