Mahu wakil dalam Kerajaan Persekutuan - Utusan Malaysia

Mahu wakil dalam Kerajaan Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS selesai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan bermulanya era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, kini menjadi tumpuan rakyat adalah sama ada manifesto PRU-14 kerajaan yang baharu ini dapat ditunaikan seperti pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta penurunan harga minyak.

Bagi rakyat Sarawak pula, pastinya janji mendapatkan penurunan kuasa daripada Kerajaan Persekutuan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk tuntutan kenaikan royalti mi­nyak sebanyak 20 peratus turut menjadi perhatian.

Perkara seterusnya menjadi tum­puan rakyat Sarawak adalah siapakah Ahli Parlimen mewakili Pakatan Harapan akan dipilih menganggotai barisan Kabinet Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setakat ini, Dr. Mahathir telah me­ngumumkan 10 menteri untuk meng­anggotai Kabinet Pakatan Harapan te­tapi tiada seorang pun mewakili Sabah dan Sarawak berbanding enam menteri penuh dan tiga timbalan menteri dari negeri ini dalam Kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak selepas kemena­ngan Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 sebelum ini.

Meskipun, Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah memberi jaminan bahawa nama-nama menteri Kabinet Persekutuan dari dua negeri ini ada dalam senarai fasa kedua nanti, namun kegelisahan dalam kalangan rakyat Bumi Kenyalang tentang ‘hilangnya’ suara menteri Sarawak di Parlimen tetap ada ketika ini.

Ketika ini, dua Ahli Parlimen dari Sarawak iaitu Pengerusi Pakatan Harapan negeri yang juga Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dan Pengerusi PKR, Baru Bian disebut-sebut bakal dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri. Namun, sejauh mana kebenarannya masih menjadi tanda tanya sehingga senarai menteri kabinet Persekutuan fasa kedua diumumkan kelak.

ADS:D

Mengulas perkara tersebut, Chieng Jen nampaknya tidak kisah berhubung ada atau tiada menteri Sarawak dalam Kabinet Persekutuan kerana yang penting baginya adalah dasar diamalkan oleh Pakatan Harapan memberi manfaat kepada 2.7 juta rakyat di negeri ini.

Ahli Parlimen Stampin itu berkata, tidak semestinya mempunyai menteri teramai seperti era pemerintahan Najib yang mencatatkan sejarah melantik sembilan menteri Sarawak akan menjanjikan keadilan kerana yang penting adalah dasar kerajaan yang mengutamakan rakyat.

Sementara itu, Baru yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak pula menyuarakan pandangan berbeza dengan Chieng Jen apabila mengharapkan akan ada wakil PKR dari negeri ini dilantik sebagai menteri Persekutuan. Bagi Ahli Parlimen Selangau itu, pelantikan sebagai menteri Persekutuan merupakan harapan besar buat parti tersebut.

Malah, beliau yakin Dr. Mahathir akan membuat pertimbangan sebaik-baiknya demi kesejahteraan Pakatan Harapan dan rakyat Sarawak. Baru berpendapat adalah penting untuk mempunyai menteri Kabinet dari Sarawak bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini terjamin.

Beliau turut mencadangkan agar porfolio Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) diberikan kepada wakil PKR Sarawak memandangkan jawatan itu sesuai disandang oleh wakil rakyat dari negeri ini yang masih ketinggalan daripada segi pembangunan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Pendapat Baru ini memang ada kebenarannya kerana rakyat Sarawak juga berhak mempunyai wakil untuk menyuarakan nasib dan masalah mereka di Parlimen setelah memberi undi kepada Pakatan Harapan untuk merampas enam kerusi Parlimen daripada BN, sekali gus meranapkan rekod Sarawak sebagai deposit tetap parti berkenaan pada pilihan raya kali ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN