Nainggolan umum bersara daripada pentas antarabangsa - Utusan Malaysia

Nainggolan umum bersara daripada pentas antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS, Belgium – Pemain tengah Belgium, Radja Nainggolan (gambar) mengumumkan persaraan serta-merta selepas tidak terpilih dalam skuad 23 Belgium ke Piala Dunia 2018 di Rusia yang bermula 14 Jun ini.

Menurut pemain tonggak Roma itu, ia adalah keputusan muktamad selepas disisihkan oleh pengendali Roberto Martinez.

“Saya berusaha keras membantu Belgium layak ke Piala Dunia tahun ini. Memandangkan sudah ada pemain lain yang layak menggantikan posisi saya, maka fikir ini adalah masa untuk bersara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semasa jadi pemain Belgium, saya sentiasa memberikan segala-galanya untuk pasukan. Saya bangga kerana pernah menjadi sebahagian daripada skuad Belgium dan akan terus kekal menyokong pasukan kesayangan saya ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebagai rekod, Belgium diletakkan dalam kumpulan G bersama England, Panama serta Tunisia. Pemain berusia 30 tahun itu telah beraksi sebanyak 30 kali bersama Belgium dengan meledakkan enam gol.

Dalam perkembangan sama, Martinez mendedahkan, penyingkiran Nainggolan dilakukan atas dasar taktikal baharu dalam skuad Red Devils.

“Saya sudah berjumpa Nainggolan dan dia menerima keputusan saya dengan hati terbuka. Saya lakukan perkara ini disebabkan taktikal baharu pasukan yang lebih bersifat menyerang.

“Walaupun dia memainkan peranan penting di Roma, saya fikir dia tidak dapat keistimewaan sama di Belgium. Pasukan Belgium kini berbeza berbanding sebelum ini,” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN