MILAN – Bekas presiden Inter Milan, Massimo Moratti menyifatkan ketua jurulatih skuad antarabangsa Argentina, Jorge Sampaoli membuat kesilapan besar kerana tidak menyenaraikan Mauro Icardi ke Piala Dunia 2018 di Rusia bulan depan.
Icardi yang berkongsi status sebagai penjaring terbanyak Serie A bersama pen-yerang Lazio, Ciro Immobile dengan 29 gol, terpaksa digugurkan bagi memberi laluan kepada bintang dalam pembikinan Boca Juniors, Cristian Pavon disenaraikan dalam skuad 23 Argentina.
“Argentina mempunyai ramai pemain berkualiti tetapi tiada antara mereka yang memiliki karakter seperti Icardi. Argentina membuat kesilapan tidak membawa Icardi ke Piala Dunia 2018,” kata Moratti.
Gol demi gol Icardi yang secara tidak langsung membantu Inter kembali beraksi pada Liga Juara-Juara musim depan masih gagal memikat hati Sampaoli untuk menyenaraikan namanya ke Rusia.
Sementara itu, Sampaoli, 58, menegaskan, kapten Inter tersebut digugurkan kerana corak permainannya tidak sesuai dengan falsafah bola sepak yang diterapkan pada skuad La Albiceleste berbanding 23 pemain yang tersenarai.
“Saya memilih pemain yang benar-benar sesuai dengan taktikal, contohnya (Christian) Ansaldi. Dia seorang pemain pertahanan tetapi mampu beraksi sama ada bek kiri dan kanan atau tengah.
“Saya tiada pilihan selain menyingkirkan nama-nama seperti Icardi, Diego Perotti, Alejandro Dario Gomez, Lautaro Martinez dan Dario Benedetto. Mereka ialah penyerang yang bagus walaupun tidak terpilih,” jelasnya. – Agensi











