KUALA LUMPUR – Sebarang isu dan skandal yang dikaitkan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini akan disiasat secara mendalam sebelum sebarang tindakan diambil terhadap pihak terbabit.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, beliau perlu mendapatkan maklumat lanjut daripada semua cabang perkhidmatan ATM sebelum membuat perincian terhadap beberapa isu dan skandal membabitkan jabatan itu termasuk isu pembelian kapal selam Scorpene serta isu dibangkitkan badan bukan kerajaan sebelum ini.
“Kita akan selidik, buat siasatan, kalau atas hearsay (khabar angin), maka akan berlaku kerosakan imej kepada seseorang atau jabatan itu.
“Kalau ada (isu dan skandal) tindakan dengan bukti penyelidikan yang rapi melalui audit dalaman, penyelidikan dalaman dan kalau tak mampu kita guna audit luaran atau lebih serius kita bawa ke kabinet,” katanya pada sidang akhbar pertamanya di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Berhubung penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa King Salman, Mohamad berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Perdana Menteri sebelum sebarang keputusan dibuat. – Bernama











