PUTRAJAYA – Satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk melaksanakan janji-janji yang terkandung dalam Buku Harapan yang menekankan tentang pembangunan dan kebajikan wanita di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pasukan tersebut akan memberikan tumpuan khas terhadap inisiatif keusahawanan sosial, pembangunan kepimpinan wanita dan inisiatif projek harapan.
“Keutamaan juga diberikan dalam menangani masalah pertumbuhan terbantut kanak-kanak seperti yang dilaporkan dalam kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (Unicef) baru-baru ini.
“Kita melihat ini penting kerana kanak-kanak terbantut ini termasuk dalam kemiskinan bandar dan kanak-kanak di Kelantan. Ini turut melibatkan kebajikan warga emas. Janji kita adalah untuk pencaruman suri rumah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya kepada pemberita di pejabatnya di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Wan Azizah tiba di Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 10 pagi tadi dan disambut oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.
Beliau yang juga diberikan portfolio Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga kemudian mengimbas kad perakam waktu sebelum dibawa untuk memasuki pejabat dan diberikan taklimat khas oleh pegawai kementerian. – K! ONLINE











