KUALA LUMPUR 22 Mei – Vokalis kumpulan EYE, Izam, 50 atau nama sebenarnya Mohd. Izam Mohd. Arshad mengakui keputusannya menyertai Gema Gegar Vaganza musim pertama (GGV 1) adalah satu kesilapan besar.
Mendakwa pemilihan dirinya sekadar mahu melengkapkan korum 12 peserta GGV 1 tanpa perlu menghadiri sebarang proses uji bakat, Izam kesal apabila menjadi antara penyanyi terawal disingkirkan.
“Sedangkan komen juri profesional yang menilai persembahan pada malam itu sangat positif, bertentangan dengan pengumuman keputusan di penghujung rancangan,” luahnya kepada Utusan Online.
Tambah Izam, penyertaannya dalam program realiti tersebut langsung tidak meninggalkan impak terhadap karier nyanyian yang diceburinya sejak 90-an.
Izam menegaskan kumpulan EYE yang ditubuhkan pada 1998 masih belum dibubarkan dan aktif mengadakan persembahan di seluruh negara.
“Malah, kami tetap dengan anggota asal, tiada yang menarik diri atau berpecah. Bulan lalu kami mengadakan persembahan di Kuantan, Pahang.
“Rakaman video aksi EYE menghiburkan peminat di sana yang dimuat naik di media sosial berjaya memperoleh tiga juta tanda like.
“Itu membuktikan kumpulan ini masih mempunyai pengikut walaupun anggotanya sudah berusia,” ujarnya.
Tidak lama lagi, kugiran tersebut bakal menjayakan sebuah konsert berskala kecil pada 18 Ogos bertempat di Cheras Sentral, di sini.
“Berkemungkinan, sebanyak 10 buah lagu akan dipersembahkan buat peminat EYE yang setia menyokong kami sepanjang 20 tahun berada dalam industri muzik tempatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











