KUALA LUMPUR 22 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik balik tuntutan samannya terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik atas dakwaan memfitnah beliau berhubung isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili Najib memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengenai perkembangan kes tersebut.
Ditanya pemberita selepas prosiding yang berlangsung di kamar hakim di sini, apakah alasan penarikan balik tuntutan saman itu, Mohd. Hafarizam berkata, berdasarkan perkembangan terkini landskap politik tanahair, beliau menasihatkan bekas Perdana Menteri menarik balik saman itu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Darryl Goon Siew Chye sehubungan itu membatalkan tuntutan Najib dengan kos RM25,000.
Peguam Ranjit Singh yang mewakili Liong Sik mengesahkan, anak guamnya juga menarik balik tuntutan balas terhadap Najib.
Bekas Perdana Menteri itu menyaman Liong Sik pada 27 Oktober 2015 ekoran kenyataan bekas presiden MCA itu dalam portal berita, Malay Mail bertajuk, ‘MCA’s Liong Sik joins call for Najib’s ouster for allegedly putting people’s money in his own pocket’.
Najib selaku pihak plaintif menyatakan, Liong Sik telah secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti di sini yang disiarkan dalam portal berita itu pada 3 Oktober 2015.
Liong Sik yang dinamakan sebagai pihak defendan menurut pihak plaintif, didakwa membuat pernyataan berbaur fitnah membawa maksud, antara lain, beliau telah menggelap dana awam ke dalam akaun peribadi beliau demi kepentingan serta keuntungan peribadi dan menyalah guna kuasanya sebagai pemimpin.
Pihak plaintif sehubungan itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan daripada pihak defendan.
Liong Sik sebelum ini memohon membatalkan tuntutan itu atas alasan saman tersebut tidak menepati kehendak undang-undang meskipun peguam pihak plaintif menegaskan, Najib tidak menyaman atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri ketika itu sebaliknya tuntutan dikemukakan atas kapasiti peribadi. – UTUSAN ONLINE











