Bismillahirahmanirrahim
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Lindungi rakyat Palestin yang dizalimi di bumi mereka dan di tanah asing.
Ya Allah, mengapa malangnya nasib mereka. Menjadi mangsa kerakusan rejim gilakan kuasa. Rejim bertuhankan dunia.
Ya Allah, kurniakan ketabahan, kesabaran dan kekuatan kepada mereka yang syahid kerana memperingati peristiwa An-Nakba 70 tahun lalu.
Ya Allah, kami sedar kami lemah kerana tidak sekuat rejim yang tidak berhati perut itu. Jauhkan kami dari kelompok manusia sebegitu.
Ya Rahim, kurniakan perpaduan dalam kalangan kami agar dapat terus menentang musuh kemanusiaan.
Ya Allah, hindarkan kami dari kehancuran akibat ego, tamak dan benci yang tidak memberi manfaat buat kami dan rakyat Palestin.
Ya Allah, kami masih merasakan panasnya darah Dr. Fadi (Mohammed Al Batsh) yang syahid di bumi Malaysia ini. Lindungilah saudara mara arwah dan bangsanya dari petualang durjana.
Ya Allah, kurniakan kekuatan kepada saudara kami yang selama ini sanggup bersabung nyawa belayar di atas Mavi Marmara untuk menghantar ubat, baju panas dan makanan.
Ya Allah, menjelang Ramadan yang mulia. Kami sedar ada hati yang sedih kehilangan segalanya. Tabahkan hati mereka.
Ya Allah, kurniakan penyelesaian masalah kepada rakyat Palestin di Tebing Barat. Sudah hampir seabad mereka merempat di bumi sendiri.
Ya Allah, jauhkan kami dari perpecahan hingga menyebabkan nasib kami dan Palestin menjadi seirama. Kami mahu membantu Palestin sehabis daya.
Ya Allah, Al Aqsa saksi segalanya. Apabila askar-askar rejim menghentak M-16 mereka ke dada umat Islam, Al Aqsa tetap setia memerhati.
Ya Allah lindungilah mereka.
Ya Allah kurniakan kami di negara ini kesihatan, keimanan dan kesejahteraan. Kerana tanpa elemen ini bagaimana kami ingin membantu Palestin yang teraniaya.
Ya Allah berkatilah doa kami. Hancurkan rejim yang gilakan kuasa hingga umat Islam tertindas di bumi sendiri di tanah para anbia’.
Amin amin yarabbal alamin.











