Memahami maksud rule of law - Utusan Malaysia

Memahami maksud rule of law

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 10 Mei lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Pakatan Harapan yang menang besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada hari sebelum­nya itu, ada menyatakan dalam sidang akhbar bahawa mereka bukan mahu membalas dendam, tetapi mahu mengembalikan kedaulatan undang-undang.

Pada 16 Mei pula, portal Human Rights Watch menyatakan bahawa hari Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara dengan pengampunan penuh pastinya merupakan hari yang amat gembira baginya dan ahli keluarganya, tetapi lebih penting lagi ia menandakan satu pembaharuan kepada kedaulatan undang-undang di negara ini.

Apakah sebenarnya maksud tiga perkataan itu? Yang pasti ia tidak sama dengan rule by law (memerintah mengikut undang-undang) kerana sesuatu undang-undang itu mungkin zalim dan menindas rakyat jelata atau mendiskriminasi sebahagian atau sekelompok rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi pelajar undang-undang, istilah rule of law ini pastinya mengingatkan kepada seorang jurist Inggeris dalam kurun ke-19 bernama A.V. Dicey. Mengikut Dicey, intipati rule of law adalah semua pihak dalam sebuah negara (rakyat biasa, kerajaan yang memerintah, pegawai kerajaan yang menguatkuasakan undang-undang dan hakim-hakim sekali) tertakluk kepada undang-undang yang sama. Ini bermakna tidak ada kerajaan kuku besi, autokrasi, diktator selain tiada diskriminasi.

Mengikut Deklarasi Delhi (1959) yang dirumuskan dalam satu persidangan International Commission of Jurists di Delhi, India (dihadiri oleh lebih 185 hakim, peguam dan profesor undang-undang dari 53 negara), istilah rule of law mengandungi jaminan hak asasi rakyat, institusi kehakiman yang bebas dan hal keadaan sosial, ekonomi serta budaya yang mampu memelihara kehormatan insaniah (human dignity).

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mentakrif istilah rule of law ini sebagai satu prinsip urus tadbir (governance) yang mengandungi ciri-ciri berikut:

a. Semua orang, institusi, entiti awam dan swasta, serta kerajaan sendiri adalah tertakluk kepada undang-undang negara.

b. Undang-undang negara hendaklah jelas, diketahui umum, dikuatkuasakan secara adil dan tidak berat sebelah.

c. Jika timbul pertikaian atau pelanggaran undang-undang, isu ini akan diadili oleh satu badan kehakiman yang bebas (tidak tertakluk kepada pengaruh atau kuasa badan perundangan atau badan eksekutif).

d. Pemerintahan yang setara dan konsisten dengan norma dan stan­dard hak asasi manusia sejagat.

e. Ada langkah-langkah yang sempurna dalam negara untuk memelihara ketinggian undang-undang, hak sama rata di sisi undang-undang, pengasingan kuasa, penyertaan dalam membuat keputusan, ketentuan undang-undang, ketiadaan kuasa arbitrari dan ketelusan undang-undang dan prosedur.

Bagi pengamal undang-undang di negara ini, barangkali takrif istilah ini yang dirumuskan oleh The International Bar Association (IBA) lebih dekat di hati mereka.

Menurut badan ini, berasaskan satu ketetapannya pada 8 Oktober 2009, istilah rule of law ini mengandungi beberapa ciri pen­ting, antaranya:

a. Negara mesti ada badan kehakiman yang bebas dan tidak berat sebelah.

b. Hak mendapatkan perbi­caraan yang terbuka dan adil tanpa kelengahan yang melampau.

c. Pendekatan yang rasional dan seimbang mengenai hukuman.

e. Satu profesion guaman dalam negara yang kuat dan bebas.

f. Komunikasi antara peguam dan anak guam hendaklah dilin­dungi.

g. Hak sama rata di sisi undang-undang bagi semua orang.

Mengikut portal Rule of Law Institute of Australia, istilah rule of law ini bererti semua pihak (rakyat, organisasi serta kerajaan) dalam sebuah negara itu tertakluk kepada undang-undang (yang mesti jelas, diketahui umum dan dikuatkuasakan sepenuhnya), ada sistem kehakiman yang bebas dan mampu menyelesaikan pertikaian secara adil dan terbuka.

Selain itu, ia merangkumi aspek semua orang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya dalam mahkamah, tidak ada tangkapan atau pemenjaraan yang arbitrary, tiada harta rakyat boleh diambil secara salah dan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah hendaklah padan de­ngan kesalahan yang dilakukan.

Pada hemat saya, huraian mengenai istilah rule of law yang terbaik dan paling mudah difahami terdapat dalam portal World Justice Project, yang mana dinyatakan di situ bahawa rule of law mengandungi empat elemen penting iaitu kebertanggungjawaban (accountability), undang-undang yang adil (just laws), kerajaan terbuka (open government) dan penyelesaian pertikaian yang mudah dicapai dan tidak berat sebelah (accessible and impartial dispute resolution).

Melihat ke belakang kepada skandal 1MDB, ketiadaan elemen kebertanggungjawaban dan kerajaan terbuka ini amat ketara sekali.

Fakta seperti Peguam Negara yang dulu (Tan Sri Abdul Gani Patail) ditamatkan perkhidmatannya supaya kerusinya boleh diisi oleh seorang Peguam Negara baharu yang dengan segera menyatakan Datuk Seri Najib Tun Razak (selaku orang yang bertanggungjawab ke atas 1MDB) adalah tidak bersalah, fakta bagaimana kerja Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjadi kelam-kabut apabila ada ahlinya dilantik sebagai timbalan menteri, tekanan dikenakan ke atas beberapa penjawat awam dan laporan audit 1MDB dijadikan rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) menunjukkan kepada kita bahawa rule of law tidak dihormati dan gagal dipatuhi.

Tidak hairanlah kenapa salah satu tindakan segera yang diambil oleh Dr. Mahathir (setelah dilantik Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh) adalah menarik balik sekatan OSA agar seluruh rakyat negara ini kini berpeluang me­ngetahui apa sebenarnya yang berlaku dalam kes 1MDB.

Tindakan ini selaras dengan dua elemen utama rule of law yang dinyatakan dalam portal World Justice Project di atas tadi, iaitu kebertanggungjawaban dan kerajaan terbuka.

Semoga lambat laun semua ciri penting rule of law seperti yang dihuraikan di atas dapat dihormati dan dipatuhi di negara ini.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN